05 January 2010

3 kunci komunikasi

Keghairahan,beri inspirasi , jelas dan pendek atau ringkas adalah merupakan 3 kunci utama dalam komunikasi  perniagaan sepertimana yang ditulis oleh jutawan internet IRFAN KHAIRI.

Kami lampirkan artikelnya yang bertajuk 3 kunci komunikasi perniagaan efektif.

3 Kunci Komunikasi Perniagaan Efektif
Oleh: Irfan Khairi

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa komunikasi adalah amat penting dalam perniagaan. Lihat sahaja mereka yang berjaya dalam perniagaan, dalam negara atau pun luar negara, pastinya mereka tergolong daripada mereka yang hebat berkomunikasi. Donald Trump, Oprah Winfrey, Bill Gates, Tony Fernandez, Ananda Krishnan dan ramai lagi adalah mereka yang hebat berkomunikasi!

Berita baiknya adalah, mereka yang hebat berkomunikasi, bukannya dilahirkan terus menjadi hebat dalam komunikasi. Komunikasi adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Dalam artikel ini saya terapkan 3 kunci usahawan jutawan dalam menarik minat sesiapa sahaja dengan menggunakan strategi komunikasi efektif.

Rahsia #1: Keghairahan

Keghairahan, minat yang mendalam dan cinta pada sesuatu topik itu akan menonjol apabila kita berbicara. Serlahkan keghairahan kita dalam percakapan kita. Ini sering kali menjadi mudah apabila kita bercakap mengenai sesuatu yang kita cinta. Oleh sebab itu juga, dalam perniagaan, pastikan perniagaan yang kita dalami adalah sesuatu yang menarik minat kita.

Apabila kita berbicara dengan penuh ghairah dan bersungguh-sungguh, pastinya ia akan berjaya menarik hati mereka yang mendengar berbanding dengan sekiranya kita hanya bercakap ala kadar dan tidak menunjukkan riak wajah yang ceria dan mempesonakan.

Keghairahan adalah kunci utama dalam berkomunikasi dengan efektif.

Rahsia #2: Beri Inspirasi

Beri inspirasi kepada audiens anda. Inspirasi akan menyentuh emosi. Emosi adalah apa yang akan menghubungkan antara anda dan pendengar pada tahap yang lebih mendalam. Percakapan seringkali akan menyentuh logik manusia. Tetapi, inspirasi akan menyentuh emosi manusia.

Kebanyakan daripada kelakuan manusia adalah berdasarkan emosi. Oleh itu, dengan menyentuh emosi melalui inspirasi, anda akan berjaya mendapat respons yang positif daripada audiens.

Sebagai contoh, sekiranya menyebut "Jimmy berjaya mendapat keputusan  cemerlang dalam peperiksaan", ia hanya menyentuh logik. Tetapi, sekiranya disertakan  sedikit inspirasi seperti "Jimmy berjaya mendapat keputusan cemerlang walaupun dirinya seorang OKU yang tidak dapat melihat sejak berumur 10 tahun akibat kemalangan", sudah tentunya memberi impak yang lebih tinggi oleh kerana disertakan sumber inspirasi.


Dalam berkomunikasi, cuba selitkan elemen-elemen inspirasi untuk menyentuh emosi pendengar anda.


Rahsia #3: Jelas & pendek

Bercakap dengan jelas. Gunakan perkataan-perkataan yang mudah difahami. Fahami bahawa apabila kita berkomunikasi, kita sering berhadapan dengan mereka yang pelbagai latar belakang. Tidak semua akan fahami apa yang kita ingin sampaikan, oleh itu, gunakan perkataan yang mudah untuk di fahami.

Adakalanya kita perlu jelaskan semula supaya pendengar benar-benar faham apa yang kita hendak sampaikan.

Ketika memberi ceramah perniagaan Internet, terdapat berbagai-bagai bahasa Internet yang asing perlu digunakan. Seringkali saya tidak menggunakan bahasa-bahasa teknikal oleh kerana antara audiens mungkin ada yang tidak faham. Oleh itu, saya perlu permudahkan apa yang ingin disampaikan supaya ianya jelas. Sebagai contoh,  "Untuk menjalankan perniagaan Internet anda perlu membayar webhosting setiap tahun". Digantikan dengan "Untuk menjalankan perniagaan Internet, anda perlu membayar sewa seperti sewa kedai di luar sana. Sewa kedai di Internet di bayar setahun sekali dan dikenali sebagai web hosting". Haaa... baru lah ramai yang faham.

Dalam berkomunikasi juga, ringkaskan apa yang hendak dikatakan. Padatkannya. Jangan berikan sehingga 10 perkara apabila berkomunikasi. Berikan 3 sahaja mencukupi. Asalkan apa yang disampaikan dapat diterima pendengar.  Apa gunanya bercakap sehingga 1 jam sekiranya apa yang kita boleh sampaikan dapat difahami dalam masa 20 minit?

Mat Salleh menggunakan istilah KISS - Keep It Short and Simple. Anda juga perlu pendekkan dan permudahkan supaya lebih mudah audiense anda menyerap setiap perkara yang anda ingin sampaikan.

Itulah kunci komunikasi ke tiga!

Sertai preview percuma Dari Kosong Sampai Jutawan hari Rabu di JB dan Khamis di KL. Untuk maklumat lanjut, lawati http://www.irfankhairi.com/mentor/darikosong/

0 comments: