14 June 2010

Laluan pintas Bukit Fraser

Pada hari minggu yang lalu kami sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan di Raub, Pahang. Dalam perjalanan pulang kami tidak melalui lebuhraya Karak - KL untuk pulang tapi sebaliknya melalui jalan Raub - Bukit Fraser - Kuala Kubu Baru dan terus ke Lebuhraya Plus.

Bagi mereka yang tinggal di Negeri Pahang terutama dari Raub dan Bentong mereka semestinya menggunakan jalan ini untuk ke Utara atau untuk ke Lebuhraya Plus arah utara. Begitu juga mereka yang tinggal di Selangor terutama dari Kuala Kubu Baru, Rawang dan juga orang-orang dari Utara yang hendak menuju Pantai Timur. Jalan ini merupakan jalan pintas tanpa melalu ibukota Kuala Lumpur.

Bermula dari persimpangan Jalan Raub - Bentong jarak  menuju puncak Bukit Fraser adalah lebih kurang 30 km. Suasana jalannya agak sunyi kerana tidak banyak kenderaan. Kita akan melalui kawasan hutan rimba yang merentasi banjaran Titiwangsa. Di sepanjang jalan ini tidak ada bangunan atau rumah kediaman.

Sekiranya ingin menikmati keindahan alam semulajadi, kehijauan hutan dengan iringan bunyi-bunyian penghuni rimba di sinilah tempatnya. Di sepanjang jalan ini juga sesuai untuk kita menguji kecekapan memandu kerana keadaan jalan yang berbukit dan mempunyai selekoh yang tajam. 

Setelah memandu selama 30 minit kami sampai ke satu kawasan dinamakan The Gap. Ia adalah satu kawasan menunggu untuk naik ke Bukit Fraser. Oleh kerana jalan untuk ke puncak Bukit Fraser sempit dan sehala , kenderaan hanya di benar naik dan turun secara bergilir. Masa 1 jam diberikan untuk kenderaan naik ke atas dan 1 jam berikutnya untuk turun dari Bukit Fraser.

Seandainya kita sampai di The Gap ketika kenderaan  turun kita terpaksa menunggu jam yang berikutnya untuk naik. Di sini terdapat gerai minuman, kemudahan tandas dan juga surau.


Ketika kami sampai di sini kenderaan sedang turun dari Bukit Fraser dan perlu tunggu 15 minit lagi untuk naik. Jadi kami mengambil keputusan untuk naik ke atas untuk meninjau Bukit Fraser, salah satu tempat peranginan yang terletak di negeri Pahang. 

Jarak dari The Gap menuju ke Bukit Fraser adalah lebih kurang 8 km.




Suasana di puncak Bukit Fraser sangat cantik dengan pemandangan kawasan yang hijau dalam suasana suhu dingin.













Kebanyakan bangunan, resort atau hotel penginapan dibina mengikut rekabentuk bangunan zaman penjajah British.











Bangunan peninggalan zaman penjajah yang dijadikan pejabat Pos Bukit Fraser.













Setelah berada lebih kurang 30 minit di Bukit Fraser kami terpaksa turun kerana tidak mahu menunggu jam yang berikutnya. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Kuala Kubu Baru yang jaraknya 40 km dari Bukit Fraser seterusnya menuju ke Lebuhraya Plus melalui tol Bukit Beruntung.

11 June 2010

genting skyway

Cable car di Genting Highland atau juga dikenali Genting Skyway adalah merupakan cable car yang terpantas di dunia. Kelajuan maksimanya adalah 26km sejam. Ia merupakan cable car yang terpanjang di Asia Tenggara.

Jarak laluan cable car ini ialah 3.38km berbanding dengan jarak perjalanan cable car yang menghubungkan antara Mount Faber ke Pulau Sentosa di Singapura iaitu 1.6km. Manakala jarak perjalanan cable car di Langkawi yang bermula di Oriental Village ke puncak gunung Mat Chinchang adalah 2.2km.



Sekiranya ada perancangan untuk menaiki cable car, elak dari membeli tiket di waktu peak hour terutama week end atau semasa public holiday iaitu di antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari. Selalunya ketika peak hour kita terpaksa beratur  lebih dari satu jam untuk menaiki cable car tersebut.

09 June 2010

Awana Genting Highland Golf & Country Resort

Selalunya apabila  mengunjungi puncak Genting Highland di hari minggu kami tidak bermalam di sana. Kami akan pulang di waktu petang.

Kali terakhir kami sekeluarga bermalam di Genting Highland adalah lebih kurang 2 tahun yang lalu.

Minggu lepas kami sekeluarga berkesempatan mengunjungi Genting Highland dan bermalam di Awana Genting Highland Golf & Country Resort.

Awana Golf & Country Resort terletak berhampiran dengan Hotel Seri Malaysia dan Gohtong Jaya, stesen cable car.

Berada pada ketinggian 3000 kaki dari paras laut dan dikelilingi oleh hutan yang berusia lebih 100 juta tahun.
                                                                                                                                                             

05 June 2010

cuti sekolah bermula

Cuti sekolah dah bermula. Anak kita akan bercuti bermula dari 5 Jun hingga 13 Jun 2010. Apakah aktiviti musim cuti untuk kali ini. Tentu masing-masing telah membuat perancangan untuk mengisi masa lapang anak-anak kita. Kalau belum ada perancangan ikuti tip berikut;
  • Bawa keluarga melancong. Lawatlah tempat-tempat yang menarik bersama anak-anak.
  • Hantar anak-anak menghadiri kelas tarian, kelas vokal, kelas muzik, kelas drama atau lain-lain . Pupuk bakat anak kita.
  • Menggalakkan anak-anak menghadiri aktiviti-aktiviti sihat seperti kelas mempertahankan diri, sukan dan permainan, kembara dan lawatan sambil belajar.
  • Lakukan aktiviti bercorak keluarga seperti berjalan-jalan, jogging, berkebun, mengajar memasak dan bertukang.
  • Bawalah anak-anak berkelah ditepi pantai atau taman rekreasi.
  • Bersukan atau bermain bersama anak-anak. Main bola, badminton, bowling atau apa saja permainan yang anak kita suka.
  • Bawa anak-anak ke perpustakaan. Ia juga dapat memupuk tabiat membaca dikalangan anak-anak.
  • Ajak ahli keluarga yang terdekat untuk makan bersama. Ahli keluarga berpeluang menjalinkan kemesraan pada waktu makan.
  • Membawa anak-anak menonton di pawagam. Pilih movie yang sesuai untuk ditonton bersama anak-anak.
  • Layari internet bersama anak-anak. Ambil kesempatan ini untuk menerangkan kebaikan dan keburukan internet. Beri mereka panduan untuk melayari internet dengan cara yang betul.

03 June 2010

River cruise

Venice, sebuah bandar di Italy terkenal dalam industri pelancongan. Venice juga dikenali sebagai "City of Water", " City of Bridges", " The Floating City" dan "City of Canals".

Tarikan utama Venice adalah kerana keindahan tempat atau bangunan lama yang terbina disepanjang tebing sungai atau terusan yang bersambung ke lautan Mediterranaen..

Salah satu tempat  se akan Venice yang terdapat di negara kita ialah di Sungai Melaka.

Mengikut sejarah  Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1402 hingga 1511, Sungai Melaka merupakan laluan penting terutama kepada pedagang-pedagang dari India dan China yang datang ke Tanah Melayu untuk berdagang. Ia juga terkenal sebagai sebuah pelabuhan dan tempat persinggahan kapal-kapal dagang yang melalui Selat Melaka.

Kini Sungai Melaka telah menjadi salah satu destinasi pelancungan utama di Melaka di mana disepanjang sungai ini  terdapat bangunan lama yang telah menjadi warisan sejarah.

02 June 2010

Melaka bandar bersejarah


Selain dari tempat bersejarah peninggalan penjajah yang terdapat di Melaka yang menjadi daya tarikan untuk orang ramai mengunjunginya, di sana juga ada menara Taming Sari yang mana bangunannya dibina menggunakan teknologi moden dan menjadikan ia sebagai penambah daya tarikan untuk pelancong datang ke Melaka.

Menara ini siap dibina dan dirasmikan pada 18 April 2008. Ia terletak di Jalan Melaka, Banda Hilir.  Dibina dengan menggunakan teknologi dari Switzerland dengan ketinggian 110m.

Kos untuk membina membina menara ini adalah RM24 juta termasuk bangunan pentadbirannya yang dikenali sebagai Rumah Melaka.

Menara Taming Sari telah tercatat dalam Malaysia Book of Record sebagai First Revolving Gyro Tower di Malaysia.


Sekiranya berkunjung ke Melaka jangan lepas peluang untuk meninjau pemandangan sekitar bandar Melaka dari puncak Menara Taming Sari..