22 May 2009

pelajar pintar

PUTRAJAYA 21 Mei - Kecenderungan pelajar-pelajar pintar yang sanggup mengambil sehingga 20 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mungkin akan berakhir.
Ini kerana Kementerian Pelajaran akan mengkaji kemungkinan untuk menghadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil oleh calon peperiksaan awam itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, amalan membenarkan seseorang calon SPM mengambil sehingga 20 mata pelajaran menyebabkan timbul masalah termasuk membabitkan pemilihan bagi mendapatkan biasiswa kerajaan. ”

Petikan dari akhbar Utusan Malaysia.

Kalau benar Kementerian Pelajaran akan menghadkan jumlah mata pelajaran dalam peperiksaan SPM maka selepas ini takkan ada lagi pelajar cemerlang seperti Nur Amalina, Azali Azlan atau Nik Madihah. Pelajar yang bukan sahaja pintar tapi mempunyai semangat yang kuat, tekun, rajin malah memiliki semua sifat-sifat terpuji yang harus ada bagi setiap pelajar.

Seandainya had jumlah mata pelajaran dilaksanakan sebelum ini maka kita semua tidak akan mengenali siapa Nur Amalina atau Nik Madihah . Mereka hanyalah pelajar biasa yang lulus cemerlang 10A atau 12A . Tidak ada bezanya dengan pelajar lain walhal mereka ini mempunyai kepintaran yang luar biasa. Jika had jumlah mata pelajaran dilaksanakan kita seakan menyekat kebolehan atau kepintaran seorang pelajar.

Sijil Terbuka SPM yang diperkenalkan pada tahun 2003 mewajibkan pelajar mengambil 6 mata pelajaran teras dan selebihnya terpulang kepada mereka untuk mengambil mata pelajaran elektif.

Takkan disebabkan desakan pihak tertentu berkenaan pemilihan pelajar untuk mendapatkan biasiswa JPA maka langkah menghadkan jumlah mata pelajaran dilaksanakan. Banyak cara atau pendekatan lain yang boleh diambil untuk mengatasi masalah tersebut. Pihak kementerian pelajaran khususnya pegawai yang bertanggungjawab dalam hal ini kena peka., jangan hanya ikut menari mengikut rentak orang politik yang sememangnya mengambil kesempatan untuk kepentingan politik mereka. Yang menjadi mangsa adalah pelajar iaitu anak-anak kita.

Catatan ****
Masih tidak faham mengapa apabila sesuatu dasar dilaksanakan , itu pun setelah dibuat kajian terperinci oleh pakar (seperti PPSMI , Sijil Terbuka SPM) dan beberapa tahun kemudian dasar tersebut terpaksa dikaji semula . Adakah semua dasar yang dilaksanakan dianggap sebagai dasar percubaan……?? Cubaan……

0 comments: