Bermula hari ini nama mat rempit ditukar. PDRM telah mengumumkan penukaran nama atau panggilan mat rempit kepada samseng jalanan. Media juga diminta menggunakan nama baru ini dalam liputan mereka. Nama ini ditukar kerana mungkin panggilan atau nama mat rempit sudah tidak serasi atau mungkin ada sebab-sebab lain.
Kalau zaman dulu, nama seseorang ditukar kerana nama yang diberikan tidak serasi atau memberi makna yang tidak baik. Tapi mat rempit ditukar kepada nama yang lebih nenonjolkan sifat-sifat samseng iaitu , suka buat kacau, suka bergaduh atau pun gedebe kata orang Kelantan. Bukan semua mat rempit ...oopp samseng jalanan adalah seorang samseng. Setengah dari mereka hanya sekadar melibatkan diri dalam perlumbaan haram yang boleh mendatangkan bahaya kemalangan kepada diri mereka dan juga orang lain. Dan hanya segelintir dari mereka yang benar-benar terlibat dalam perlumbaan haram dan yang lainnya hanyalah sekadar pengikut atau pemerhati saja.
Bukan tidak setuju nama panggilan ini ditukar tetapi dengan hanya sekadar menukar panggilan ianya tidak mendatang kesan kearah kebaikan. Malah orang ramai akan mula membuat tanggapan bahawa samseng jalanan adalah sama kategori dengan kumpulan samseng yang lain dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang lebih drastik sama seperti mana mereka membenteras kumpulan samseng lain.
Dulu mat rempit tidaklah begitu terkenal atau mendapat liputan meluas. Meraka adalah sebahagian daripada remaja bermasalah yang suka melepak dan mengambil bahagian dalam lumba haram. Dan apabila ada pihak tertentu menonjolkan aktiviti dan aksi mereka dilayar putih maka golongan remaja ini menjadi lebih action atau naik toncang. Mungkin selepas ini ada producer yang akan membuat filem, contohnya Hero Samseng Jalanan ,filem yang akan menceritakan bagaimana mat samseng jalanan ini menolong pihak berkuasa menangkap peragut. . Filem ini akan diwar-warkan sebagai filem yang akan memertabatkan kumpulan samseng jalanan ini walhal 95% babak dalam filem memaparkan aksi-aksi bahaya , aksi tak senonoh dan sebagainya yang kemudian aksi-aksi tersebut akan menjadi ikutan atau kebanggaan kepada mat samseng ini. Begitulah impak atau pengaruh filem ke atas golongan mat rempit sebagaimana yang terjadi sebelum ini. Sekali lagi mereka akan rasa megah atau bangga dilabelkan sebagai samseng jalanan. Akhirnya samseng jalanan hanyalah sekadar langkah penjenamaan saja.....
0 comments:
Post a Comment