31 May 2010

cuti sekolah 2010


Cuti sekolah akan bermula pada minggu kedua bulan Jun. Sudah tentu ada diantara kita telah merancang untuk membawa keluarga untuk bercuti. 

Minggu ini adalah minggu terakhir sebelum cuti persekolahan bermula. Anak-anak kami sekarang sedang menduduki peperiksaan penggal ke 2 di sekolah masing-masing.

Sedang merancang untuk membawa anak-anak bercuti tetapi yang menjadi masalah untuk memohon cuti. Terpaksa bergilir-gilir bercuti dengan office staf yang lain, kalau tidak nanti pejabat akan kosong kerana masing masing ingin bercuti pada tarikh yang sama.

24 May 2010

plaza low yatt dan laptop merah

Agak lama tidak mengunjungi Plaza Low Yat , komplek beli belah untuk barangan IT yang tersohor itu. Suasana  di plaza itu tadi masih seperti dulu, sibuk dan terlalu ramai manusia. Mungkin juga kerana hari ini hari minggu, ramai yang mengambil kesempatan untuk shopping. Cuma apa yang berbeza dari dulu di plaza Low Yat sekarang sudah ramai warga asing yang menjadi juru jual.

Kalau di plaza Imbi yang bersebelahan dengan Low Yat, lebih dari 80% kedai yang menjual dan membaiki komputer telah kuasai oleh warga asing terutama dari Pakistan. Apakah nanti Plaza Low Yat juga akan menjadi seperti Plaza Imbi?

Tujuan kami ke Low Yat adalah untuk mencari pengganti TravelMate yang sudah menunjukkan tanda uzur. Skrinnya sudah timbul tompok hitam dan badannya juga cepat panas walaupun diletak cooling fan dibawahnya.

Satu demi satu kedai kami selusuri. Kebanyakkannya mempromosi model atau brand yang sama iaitu Acer, Toshiba, Sony, Samsung, Compaq, Dell dan beberapa brand yang tak famous. Harga yang ditawarkan ada sedikit perbezaan walau pun model dan brand yang sama dijual kerana perbezaan dari segi processor, kapasiti harddisk dan juga software. Kalau dulu laptop menggunakan processor Intel Core2 Duo tapi sekarang sudah ada Intel Core i3 , Intel Core i5 dan yang terbaru Intel Core i7.

Dan yang menariknya boleh dikatakan semua brand laptop disusun dimana LCD monitor atau skrinnya mengadap pembeli supaya pembeli senang untuk melihat spesifikasi dan harga laptop yang dipaparkan di skrin. Tetapi kedudukan sebaliknya bagi jenama  Dell kerana mereka tidak mempamerkan skrin . Mereka mempamerkan  warna laptop kerana mengikut mereka orang memilih jenama Dell kerana aneka warnanya.

17 May 2010

janda baik




Video di atas dirakam disungai atau tempat perkelahan di perkampungan yang terletak di banjaran Titiwangsa yang kenali dengan nama Kampung Janda Baik. Mengikut istilah biasa janda baik bermaksud perempuan atau isteri yang tidak bersuami samada telah bercerai atau telah kematian suami dan baik hati.

Mengikut cerita lagenda dulu kala, kampung ini diberi nama Janda Baik kerana ada seorang janda yang baik hati yang sering memberi pertolongan terutama mereka yang cedera dalam peperangan. Di zaman dahulu orang Pahang selalu berperang dengan orang Selangor. Sekembalinya mereka dari berperang di Selangor mereka akan singgah di kampung ini untuk berehat dan sekiranya ada di antara mereka yang cedera, maka janda yang baik itu tadi sedia memberi rawatan. Dengan sebab itulah kampung itu terkenal dengan panggilan kampung Janda Baik.

Kini Kampung Janda Baik telah menjadi salah satu tempat perkelahan yang dikunjungi oleh orang ramai terutama dihujung minggu. Suasana perkampungan yang dingin dan  damai, dikelilingi hutan dara dan terdapat sebatang anak sungai yang menyusuri perkampungan ini.

Di sepanjang anak sungai ini terdapat beberapa resort dan chalet yang menyediakan kemudahan untuk menginap atau bermalam. 

Perjalanan ke kampung Janda Baik mengambila masa lebih kurang 45 minit dari Kuala Lumpur melalui lebuh raya Karak. Selepas melalui terowong Genting Sempah ( dari KL) kita perlu membuat pusingan U menuju ke     Petronas  atau  Mc Donald  di R & R Genting Sempah dan mengambil simpang ke kiri. Dan ikutilah papan tanda menuju ke Janda Baik.

Sepanjang jalan menuju kampung Janda Baik kita akan dapat melihat banglo penginapan atau resort yang di kelilingi dusun buah-buahan. Bila musim buah tiba, Janda Baik menjadi tumpuan kerana keistimewaan   buah duriannya manis dan sedap yang juga di kenali durian janda baik.

Kebanyakkan rumah penginapan disini dimiliki oleh ahli perniagaan atau tokoh politik dari Kuala Lumpur.  Di sini juga terletak teratak yang di diami oleh Pak Habib seorang penulis terkenal di Malaysia.

Sekiranya ada kelapangan bawalah keluarga berkunjung ke kampung Janda Baik , berkelah atau mandi manda di sungai sambil menikmati suasana kampung yang tenang dan damai.

Cuti-cuti 1Malaysia.

13 May 2010

motivasi diri = anjakan tiba-tiba

Baru saja terima newsletter dari IK yang mana dalam newsletternya diselitkan  tip berkenaan motivasi diri, tapi tak faham dengan konsepnya.

11 May 2010

duit adalah segalanya


Betulkah duit adalah segalanya atau pun segalanya adalah duit. Tak kisahlah yang mana satu kerana semuanya adalah berkaitan dengan duit. Kita bekerja pun kerana hendakkan duit. Hidup tak sempurna tanpa duit. Saya tertarik dengan satu artikel dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Bank Negara berkenaan hubungan kita dengan duit. Dilampirkan artikel untuk sama-sama kita baca ;

Untuk memahami hubungan anda dengan duit, mari imbas kembali sewaktu anda sedang membesar. Kemungkinan besar, persepsi anda tentang duit dibentuk oleh orang dewasa disekeliling anda. Anda mungkin mendapat pelbagai perasaan dan idea tentang duit daripada keluarga anda.


Jika ahli keluarga anda perlu bekerja keras, anda mungkin fikir bahawa membuat duit memerlukan kerja yang banyak dan berjam-jam. Jika ada perselisihan faham tentang duit, anda mungkin rasakan bahawa berbincang tentang duit membuatkan orang marah atau takut. Jika keluarga anda mendapat bantuan kerajaan, anda mungkin rasa sedih, berterima kasih atau malu. Jika anda mendapat duit ketika kecil, anda mungkin rasa seronok atau bersalah. Anda mungkin rasa seronok dengan memiliki wang anda sendiri atau dapat membantu keluarga anda. Anda mungkin marah kerana perlu bekerja.


Kadang kala, anda boleh mengetahui bagaimana perasaan anda terhadap sesuatu dengan menghabiskan sesuatu ayat dalam perkataan anda sendiri. Cuba siapkan ayat-ayat berikut seberapa banyak yang anda boleh dan perhatikan perasaan anda semasa anda menyiapkannya:

Ia amat mudah bagi saya untuk membelanjakan duit untuk.........................
Ia amat sukar bagi saya untuk membelanjakan duit untuk..........................
Saya suka mendapat duit kerana...............................
Saya risau tentang duit apabila.................................
Saya bertengkar tentang duit kerana................................
Menyimpan duit membuatkan saya rasa............................
Jika hari ini saya ada cukup duit, saya akan...........................
Bercakap tentang duit membuatkan saya..........................
Semasa saya membeli barang yang tidak saya perlukan, saya.....................
Saya tidak tahu bagaimana hendak mengurus duit saya kerana.....................


Cara yang terbaik untuk merancang masa hadapan adalah dengan memahami keadaan anda yang dahulu dan sekarang. Dengan mengetahui tanggapan dan perasaan anda tentang duit akan membantu anda mengajukan persoalan-persoalan penting. Jawapan anda pula boleh membantu anda membuat keputusan yang baik. Cuba ajukan soalan berikut dan ambil sedikit masa untuk memikirkan jawapannya.


Berapakah jumlah duit yang cukup untuk keperluan dan kehendak saya?
Bagaimanakah saya hendak mendapat duit yang saya perlukan?
Bagaimana pula duit untuk kecemasan?
Bagaimana pula duit untuk semua barang keperluan keluarga saya?
Bagaimana saya boleh berhenti runsing tentang duit?


Anda perlu tahu tentang masa silam anda dan bagaimana ia memberi kesan kepada anda. Anda juga perlu memahami pengaruh persekitaran anda.


Umumnya, orang Malaysia menghargai duit. Kita selalu melihat kehidupan orang kaya dan ternama melalui filem, rancangan TV realiti, sukan, akhbar dan majalah. Tambahan pula, pengiklan menyuruh kita membeli, membeli dan terus membeli. Ramai orang beranggapan yang duit menjadikan mereka penting. Kita mula mempercayai yang “lebih baru dan lebih besar” adalah lebih baik. Kita lupa untuk merancang sebelum kita berbelanja.


Budaya kita membentuk pemikiran dan tingkah-laku kita. Mari kita dengan jujur tanya diri kita masing-masing: Tidakkah kita terfikir tentang orang-orang ternama dan ingin menjadi seperti mereka? Tidakkah tingkah-laku kita seperti watak yang kita lihat dalam TV, dalam filem atau pemain sukan (ya, anda semua yang mahu menjadi Beckham!)? Tidakkah kita membeli sesuatu kerana mahu menjadi seperti mereka yang berada dalam iklan tersebut (sesetengah orang mungkin mengakui yang baju kemeja-T Nike mereka sebenarnya memperbaiki permainan golf mereka!)?


Mengapa Orang Mahukan Duit?


Orang mahukan duit supaya mereka boleh hidup. Mereka mahukan duit untuk menjaga diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Tetapi orang juga mahukan duit kerana budaya kita memberitahu bahawa: Duit menjadikan anda penting. Duit adalah keyakinan diri. Anda adalah pendapatan anda.


Budaya kita juga memberitahu kita bahawa memiliki banyak benda akan menggembirakan kita. Apa yang kita lihat dan dengar, mencadangkan bahawa kita boleh membeli perasaan. Jika kita mengambil perhatian akan semua ini, jiwa kita boleh jadi kosong. Kita boleh menjadi muflis atau tidak gembira.

Apa Yang Duit Boleh Buat atau Tidak Boleh Buat?


Walaupun budaya kita mengatakan bahawa duit adalah jawapan kepada segala masalah kita, kita juga mendengar yang duit itu jahat: Duit adalah punca segala kejahatan. Duit menghancurkan! Mari kita lihat apa yang duit boleh buat dan tidak boleh buat:


“Ia boleh membeli sebuah rumah, tetapi bukan keselamatan.
Ia boleh membeli sebuah katil, tetapi bukan tidur.
Ia boleh membeli sebuah jam, tetapi bukan masa.
Ia boleh membelikan anda buku, tetapi bukan ilmu pengetahuan.
Ia boleh membelikan anda kedudukan, tetapi bukan penghormatan.
Ia boleh membelikan anda ubat, tetapi bukan kesihatan.
Ia boleh membelikan anda darah, tetapi bukan nyawa.”


Anda lihat, Duit bukanlah segalanya!


Apa Yang Duit Boleh Dapatkan Untuk Saya Hari Ini?


Dengan duit anda boleh menguruskan makan minum, tempat berteduh dan pakaian anda. Semua orang memerlukan semua ini untuk hidup. Anda juga menggunakan duit untuk perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan, penjagaan anak, pengangkutan, insuran dan pendidikan. Anda memerlukan banyak benda yang anda miliki dan perkhidmatan yang anda beli. Belian yang lain adalah kehendak – sebuah kereta baru, makan di luar, pakaian berjenama, percutian atau hanya cuba bersaing dengan jiran kita.


Kuncinya bukan berapa banyak duit yang anda miliki tetapi bagaimana anda menggunakannya. Perbelanjaan anda perlu mengikut nilai-nilai anda. Nilai-nilai murni andalah yang penting bagi anda. Ini memerlukan perancangan dan latihan. Melainkan anda menggunakan duit sebagai alat, dengan mudah ia boleh menjadi perangkap!


Apakah Yang Duit Dapat Buat untuk Masa Depan Saya?


Pilihan yang anda buat hari ini boleh mengubah masa depan anda. Apabila anda melakukan yang berikut, anda bukan hanya merancang untuk minggu depan, bulan depan atau tahun depan tetapi seumur hidup:


Memilih untuk berbelanja atau tidak berbelanja
Menyimpan duit untuk simpanan kecemasan
Belajar kemahiran baru untuk mendapatkan atau mengekalkan pekerjaan
Melangsaikan hutang
Menjadi pembayar hutang yang baik supaya anda boleh mendapat pinjaman yang besar seperti pinjaman kereta atau rumah
Mengajar anak-anak dan ahli keluarga tentang penggunaan duit yang betul


Begitulah! Sehingga anda mempunyai hubungan yang baik dengan duit, anda tidak akan boleh hidup bersamanya. Seperti pepatah ada mengatakan, “Seorang bodoh , duitnya tidak akan kekal lama bersama.”


 “Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemah Sebagai Budaya Hidup.”

08 May 2010

selamat menyambut hari ibu

Pada kala aku mengenang ibu
masih terasa eratnya pelukanmu
panas air mata membasahi pipi
tempatmu masih terpahat di hati
pasir berpindah pantai masih di situ
waktu berubah kasihku masih padamu.
Kesudahan hidup kematian yang pasti
pemergian yang kutangisi hingga kini
kasih sayangmu menggegar jiwa
ada tugas belum selesai
ada hajat belum tertunai
ada budi belum dibalas
bagai hutang yang belum dilunasi
terlalu banyak yang kuterima
terlalu sedikit yang sempat kuberi
kesalku kemewahan ini tak dapat dibagi.
Nostalgia bersamamu kubiarkan segar
suka duka ingin kulalui bersama
kau cemas membalut lukaku di lutut
terseliuh kaki kau yang mengurut
rajukku sekejap pandai kaumemujuk
kasihmu menemaniku pada saatku dicabar
memilih antara antah dan beras
antara berlian dan kaca
zamrud mutiara di telapak tangan
masih ibu permata hatiku.

KHADIJAH HASHIM