21 July 2009

spa


Hot spring atau mata air panas adalah mata air yang keluar dari kerak bumi setelah dipanaskan secara geotermal.

Suhu mata air yang keluar dari tanah ini melebihi suhu badan manusia (37 o C) dan ada kala mencapai suhu didih.



Walau pun negara kita tidak ada gunung berapi, terdapat banyak sumber mata air panas di seluruh negara.

Salah satu sumber air panas yang terletak berhampiran Kuala Lumpur ialah di Kampung Dusun Tua , Hulu Langat iaitu lebih kurang 20 km jarak dari ibu negara.( di hadapan pintu masuk Institut Kemahiran Belia Negara, Dusun Tua ).
Mata air panas mengandungi kadar mineral yang tinggi seperti kalsium, litium atau radium.

Berendam dalam air panas bermineral dipercayai boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

Berdasarkan alasan tersebut spa dibina untuk tujuan rekreasi dan perubatan.


Kenapa tidak ada inisiatif dari mana mana pihak untuk membina spa di kawasan ini?








15 July 2009

Impiana LAMAN













Tahniah kepada cousin (Yie & Zie ) yang tinggal di Presint 9, Putrajaya kerana kediaman mereka menghiasi majalah LAMAN edisi Julai Ogos 2009 keluaran Kumpulan Karangkraf.

Minat yang mendalam terhadap seni menghias rumah berbaloi kerana sebelum ini mereka telah memenangi hadiah pertama peraduan menghias rumah anjuran Berita Harian.

12 July 2009

PPMSI , Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia telah membuat pengumuman pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) berkuatkuasa sepenuhnya pada tahun 2012. Dasar ini dilaksanakan pada tahun 2003 oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

Dengan pemansuhan dasar tersebut , kerajaan se akan akur dengan desakan pihak tertentu yang kononnya dasar PPMSI telah menjatuhkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tun Mahathir jelas kecewa dengan langkah kerajaan memansuhkan dasar yang diperkenalkan oleh beliau.

Tun Mahathir mempunyai visi dan misi tertentu semasa melancarkan dasar tersebut. Sejajar dengan matlamat beliau menjadikan Malaysia negara maju pada tahun 2020, semestinya negara juga perlu memiliki modal insan yang berupaya bersaing diperingkat global.

Untuk bersaing atau berada di arena global perkara asas yang perlu adalah kemahiran berkomunikasi. Di sinilah bahasa Inggeris memainkan peranan penting kerana ia adalah bahasa sejagat. Tun Mahathir melaksanakan dasar tersebut dengan hasrat agar anak-anak kita di dedahkan dengan penggunaan bahasa Inggeris diperingkat awal . Bila menjelang tahun 2020, negara telah memiliki modal insan yang berupaya dan bersedia untuk mengharungi era globalisasi.

Terdapat dua asas utama yang menyebabkan dasar PPMSI dimansuhkan.

1. PPMSI telah menjatuhkan martabat bahasa ibunda.
2. Prestasi atau pencapaian dalan mata pelajaran sains dan matematik merosot terutama pelajar luar bandar.

Asas pertama iaitu PPMSI boleh menjatuhkan martabat bahasa ibunda khususnya bahasa Melayu di cetuskan semasa Resolusi Kongress Pendidikan Melayu Kedua pada 26 dan 27 Mac 2005. Ia juga disuarakan dalam Konvensyen UMNO Johor 2006. Rentetan dari peristiwa itu terdapat beberapa pihak seperti GAPENA dan NGO turut membantah perlaksanaan dasar tersebut.

Walaupun dasar PPMSI lebih mengutamakan penggunaan bahasa Ingerris di sekolah tidak semestinya anak kita akan mengabaikan bahasa ibunda. Setinggi mana pun martabat bahasa Melayu diangkat secara jujur boleh dikatakan ianya tidak memberi impak yang besar. Paling tidak pun ianya hanya digunakan semasa menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu atau pun menulis surat rasmi.

Bukan tujuan untuk memperlekeh penggunaan bahasa Melayu tapi pada hakikatnya ia tidak digunakan secara meluas. Contohnya semasa berkomunikasi samada di rumah , di pejabat atau di pasar. Kebanyakkan orang Johar atau Selangor berkomunikasi dalam dialek Jawa dirumah( bagi mereka yang berketurunan Jawa), orang Negeri Sembilan dengan dialek minangnya, orang Kedah atau Perlis dengan loghat utara dan orang Kelantan akan “kecek Kelate” bila bertemu rakan senegeri. Malah orang Melayu akan bertutur dalam bahasa Melayu ala Mandrin bila bertemu rakan yang berbangsa Cina.

Mereka yang mendesak agar dasar PPMSI dimansuh juga mahukan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa ilmu. Sedekad yang lalu isu yang sama pernah di utarakan. Tetapi yang jelas bahasa Melayu masih ditakuk lama. Amat kurang buku-buku rujukan dalam bahasa Melayu terutama diperingkat pengajian tinggi. Apakan langkah atau tindakan yang telah diambil pihak tertentu untuk memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.?

Satu lagi faktor yang dijadikan sandaran dasar PPSMI dimansuhkan ialah kemerosotan prestasi atau pencapaian mata pelajaran Sains dan Metamatik pelajar luar bandar. Kalau merujuk kepada statistik yang dikeluarkan kemerosotan prestasi hanya sekitar 3 peratus sahaja.

Kemerosotan prestasi pelajar perlu dilihat dari skop yang lebih luas. Adakah guru-guru yang mengajar subjek tersebut menguasai bahasa Inggeris terutama yang mengajar di kawasan luar bandar. Kenapa kemerosotan prestasi pelajar bagi sekolah di bandar tidak ketara?

Kami tidak kesal atau kecewa jika anak kami gagal atau merosot dalam subjek Sains atau Matematik di peringkat sekolah rendah tapi kami akan merasa kecewa kalau anak kami memiliki diploma atau ijazah , gagal mendapat pekerjaan kerana tidak menguasai bahasa Inggeris.

Tujuan utama dasar ini diperkenalkan dulu adalah untuk memberi pendedahan sepenuhnya terhadap penggunaan bahasa Inggeris diperingkat awal persekolahan. Ia juga untuk membiasakan pelajar memahami istilah matematik dan sains yang diajar dalam bahasa Inggeris. Lagi pun banyak istilah-istilah sains yang tidak dapat diterjemahkan dalam bahasa Melayu yang memberi makna yang tepat.

Untuk menjadikan seseorang itu mahir dalam bahasa tak kira apa bahasa sekali pun, apa yang perlu adalah penglibatan secara menyeluruh dalam bahasa tersebut di peringkat awal . Ibubapa yang mahukan anaknya fasih berbahasa Cina menghantar anak mereka ke sekolah Kebangsaan Jenis Cina. Mereka yang mahukan anak mereka fasih berbahasa Arab menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa penghantar.

Dengan mempelajari satu subjek bahasa Inggeris dan jumlah masa pembelajaran yang terhad adalah sukar untuk anak-anak kita menguasai bahasa tersebut.

Rata-rata mereka yang beria mendesak pemansuhan PPSMI adalah golongan yang berumur, pesara kerajaan dan mereka yang berlatarbelakang dalam bidang sastera dan tidak ada anak di bangku sekolah. Mereka ini tidak merasai kesan bertapa pentingnya bahasa Inggeris terutama bagi mereka yang berkerja dalam sektor swasta.

Berapa ramaikah graduan lepasan universiti yang menganggur setiap tahun? Adakah kerana mereka memilih pekerjaan atau tidak memiliki kelayakan yang diperlukan? Mengikut kajian ramai graduan Melayu tidak ditawarkan pekerjaan terutamanya di sektor swasta disebabkan tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Malah ada yang tidak tahu menyediakan resume dalam bahasa Inggeris.

Kita selalu beranggapan bahawa mereka akan mempelajari bahasa Inggeris semasa belajar di Universiti. Sebenarnya sudah terlambat. Inilah masalah utama dikalangan pelajar Melayu di universiti terutama pelajar jurusan kejuruteraan dan sains. Prestasi mereka merosot kerana kuliah disampaikan dalam bahasa Ingeris dan bahan rujukan tidak ada yang berbahasa Melayu. Ketika rakan yang lain sibuk mengulangkaji pelajaaran mereka masih terkial-kial menterjemah nota kuliah dalam bahasa Inggeris yang dipinjam.

Walau pun pengumuman pemansuhan telah dibuat , kerajaan seharusnya meneliti atau mengkaji semula keputusan tersebut. Langkah kerajaan untuk menambah guru bahasa Inggeris adalah baik tapi jumlah itu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan bilangan pelajar. Sudah tentu tugas untuk memperkasa bahasa Inggeris hanya dipikul oleh guru ynag mengajar subjek tersebut saja.

Rakyat seharusnya diberi dua pilihan samada ingin meneruskan dasar PPSMI atau berundur kebelakang demi mempertahankan martabat bahasa ibunda . Sikap orang kita masih tidak berubah, takut untuk gagal dan hanya ingin menjadi jaguh di gelangang sendiri. Akhirnya, bangsa lain yang berkokok lantang di arena globalisasi.

07 July 2009

teluk nipah, pulau pangkor


Ekonomi masih suram, wabak selsema babi, influenza A H1N1 belum reda malah semakin merebak. Kita tidak digalakkan berada dikhalayak ramai apatah lagi berkunjung keluar negara samada kerana tugasan atau melancong. Takut nanti kena kurung di rumah sendiri (kuarantin) kerana balik satu flight dengan mangsa jangkitan virus H1N1.


Bagi mereka yang hendak bercuti ke luar negara postpone dulu, kerana banyak tempat menarik dalam negara yang boleh kita kunjungi dan salah satunya Pulau Pangkor.


Pulau Pangkor boleh dikunjungi melalui jalan udara iaitu melalui Berjaya Air atau melalui feri. Kemudahan parking bertingkat disediakan berhampiran jeti Lumut.





Terdapat juga lot parking tambahan bersebelahan tempat letak kereta bertingkat dengan kadar bayaran Rm 10.00 untuk parking 24 jam.
Terdapat beberapa syarikat yang menguruskan perjalanan feri ke Pulau Pangkor dengan kadar bayaran Rm 10.00 bagi dewasa dan Rm5.00 bagi kanak-kanak untuk perjalanan pergi dan balik. Perjalanan feri dari jeti Lumut ke jeti Pangkor mengambil masa lebih kurang 30 minit.












Dalam perjalanan ke jeti utama Pulau Pangkor, feri akan singgah sebentar di jeti Kg. Sungai Pinang. Kg. Sungai Pinang adalah merupakan sebuah perkampungan nelayan di Pulau Pangkor.

Terdapat beberapa tempat perkelahan disekitar Pulau Pangkor yang menyediakan kemudahan penginapan. Di antaranya, Pantai Pasir Bongok, Pulau Pangkor Laut, Pantai Teluk Nipah, Pantai Puteri Dewi dan Teluk Belanga.
Selain dari Pulau Pangkor Laut, Teluk Nipah adalah lokasi yang baik untuk dikunjungi. Ia berada di perairan Selat Melaka dan berdekatan Pulau Giam tempat yang sesuai untuk snorkeling. Terdapat banyak resort dan chalet di sini dan juga kemudahan gerai makan.











Di pantai Teluk Nipah kita akan dapat melihat panorama senja yang indah takkala mentari berlabuh di ufuk barat.











Satu lagi tarikan utama di Teluk Nipah ialah terdapatnya burung enggang (hornbill) liar yang sukar dilihat di tempat lain kecuali di zoo, terbang rendah dan hinggap di sekitar chalet untuk mencari makanan.


Pulau Giam terletak lebih kurang 500m dari pantai Teluk Nipah. Kita boleh menaiki bot ke pulau tersebut dengan bayaran RM10.00 untuk dewasa dan RM5.00 bagi kanak-kanak termasuk peralatan snorkeling. Terdapat banyak ikan di sekitar perairan pulau ini.
















Aktiviti terakhir sebelum pulang ialah shopping ikan masin, souvenirs dan meronda mengelilingi Pulau Pangkor dengan menaiki van dengan bayaran RM80.00. Ada satu tempat peninggalan sejarah di Pulau Pangkor iaitu Kota Belanda.